Thursday, August 2, 2012

Catatan Ramadhan..


Ramadhan berasal dari perkataan ramadh yang bererti panas. Bukan panas cuaca yang diketengahkan disini, tetapi hal yakni keadaan orang yang berpuasa itu sendiri. Apabila kita berpuasa, keadaan kita menahan diri dari makan dan minum sepanjang hari itu telah memyebabkan badan kita menjadi panas, terasa cepat untuk marah dan sebagainya. Jika di dalam ilmu perubatan, keadaan ini adalah diakibatkan daripada tindakbalas hormon adrenalin yang dirembeskan oleh badan yang akan menjadikan badan manusia itu terasa panas. Tambahan pula, badan kita juga akan mengalami sedikit dehidrasi akibat daripada kita menahan dari makan dan minum sepanjang hari. Tetapi, perkara ini amat baik untuk badan kita bagi melanjutkan lagi usia badan kita. Bukan umur yang dijadikan ukuran disini, tetapi kebolehupayaan badan kita berfungsi dengan tahap yang baik untuk meneruskan hidup.



                Di dalam kitab Ta’lim Muta’lim ada menceritakan perihal cara ataupun kaedah yang terbaik bagi menerangkan hati yang kotor dek kerana maksiat dan kealpaan kepada Allah. Kaedah yang paling terbaik sekali adalah membaca AlQuran sambil melihat AlQuran itu sendiri. Yang kedua barulah solat tahajud di sepertiga malam.Walaupun seseorang itu bergelar Hafiz dan Hafizah, adalah lebih baik baginya untuk membaca AlQuran sambil melihatnya. Perkara yang mudah dilakukan tetapi sering diambil enteng oleh manusia sejagat. Kekadang, masalahnya bukan daripada baca sambil tengok ataupun tidak, tetapi nak pegang AlQuran itupun malas. Bersempena Ramadhan tetamu yang mulia ini  datang mengunjungi kita, maka gunalah kesempatan yang ada untuk menambahkan amalan kita lagi-lagi membaca AlQuran. Imam Malik ra pada datangnya bulan ramadhan, dia menutup semua kitab-kitabnya yang lain dan hanya fokus kepada AlQuran sahaja, kerana bulan inilah bulan yang dipenuhi dengan rahmat.

                Saya bagi satu analogi, sekiranya kita mengetahui ada satu promosi di satu hypermarket berdekatan perumahan kita, nescaya berpusu-pusu orang akan pergi ke situ, sebabnya kita tahu, kita akan perlu menunggu masa yang agak lama pulak jika kita terlepas promosi yang diadakan sekarang. Orang yang tak pergi, maka dia tak akan dapat benda yang dipromosikan itu, orang yang pergi pulak, tidak akan dapat juga barang yang dipromosikan itu jika dia tidak membawa wang ke sana. Begitulah juga Ramadhan yang Allah telah sediakan pelbagai keistimewaan didalamnya. Jika kita tak ambilnya dengan sebaiknya, maka kita tak akan dapat keistimewaan di dalamnya, adapun jika kita ambilnya juga, tetapi kita tak sanggup untuk berkorban tenaga, harta, masa untuk kita perolehkeistimewaan yang telah disediakan itu, maka kita juga tidak akan mendapat apa-apa dari ramadhan ini. Oleh sebab itu, Imam Habib Abdullah Haddad dalam kitabnya Nasihat Agama dan Wasiat Iman membincangkan perihal Taqwa pada permulaan kitabnya yang menunjukkan bahawa Taqwa adalah perkara yang mulia disisi Allah. Hal ini disebabkan kerana Allah telah mengumpulkan segala kebaikan di dunia dan akhirat di dalam sifat Taqwa itu.

No comments:

Post a Comment